Sejarah awal Julius_Caesar

Caesar dilahirkan dalam keluarga kelas patrician iaitu golongan tertinggi di Rom tetapi keluarganya hidup secara sederhana. Ayahnya Gaius Julius Caesar, seorang yang tidak terkenal, dan pangkatnya yang tertinggi ialah praetor, satu jawatan di bawah konsul. Manakala ibunya, Aurelia, berasal daripada keluarga Cotta, sebuah keluarga bangsawan, dan merupakan matrona atau ibu yang terkenal dalam disiplinnya pada waktu itu. Walaupun mereka tidak berada, keluarga Caesar rapat dengan ahli-ahli senator dan ini telah menjadi perangsang bagi Caesar untuk menjadi pemimpin yang terkenal. Ayah Caesar meninggal apabila Caesar berusia 15 tahun.

Pembabitan awal dalam politik

Sebagai golongan bangsawan, Caesar serta keluarganya secara tradisinya patut menyokong parti Optimates dibawah pimpinan Lucius Cornelius Sulla. Namun keluarga syamil lebih cenderung kepada parti Populares apabila emak saudaranya, Julia, berkahwin dengan seorang tokoh dari parti tersebut iaitu Gaius Marius. Marius merupakan seorang jeneral terkenal yang telah menyandang jawatan Konsul sebanyak tujuh kali, iaitu antara 107 SM dan 86 SM, yang juga digelar "Pengasas Ketiga Rom". Marius merupakan salah seorang jeneral yang paling berjaya dalam sejarah Rom dan telah berperang serta menghancurkan pakatan bala tentera Celt dari Gaul dan Germania. Walaupun Marius tidak berasal dari keluarga bangsawan, dia mempunyai pengaruh yang sangat kuat dalam tentera Rom. Malah Marius telah memaksa pembaharuan dalam sistem tentera Rom dengan membenarkan rakyat tidak berharta menjadi tentera. Lazimnya, tentera daripada golongan miskin akan mengikut telunjuk jeneral mereka dan ini merupakan faktor utama yang membolehkan Caesar menguatkan pengaruh tenteranya.

Sewaktu Caesar berusia sepuluh tahun, Marius dan partinya terlibat dalam pergolakan dengan beberapa parti lain, termasuk anak didiknya Sulla. Ini telah mencetuskan Perang Saudara Rom I. Pada 87 SM, semasa Caesar masih remaja, beliau telah dilantik sebagai Flamen Dialis (paderi tertinggi Jupiter) oleh sama ada Marius atau konconya Konsul L. Cornelius Cinna. Seorang Flamen Dialis dilantik sepanjang hayatnya dan terpaksa hidup dengan pelbagai pantang larang keagamaan seperti tidak boleh memegang besi, melihat mayat, atau menunggang kuda. Sekiranya Caesar memegang jawatan tersebut, beliau tidak mungkin menjadi seorang wira yang terkenal. Tetapi sebelum sempat beliau menerima perlantikan tersebut, bapa saudaranya Marius telah meninggal dunia dan jawatannya diambilalih oleh Sulla. Apabila Sulla berkuasa beliau telah mentadbir Rom secara kuku besi. Pengaruh Populares telah dihadkan dan ramai penyokong Marius telah dibunuh. Dia juga bimbang dengan anak saudara Marius iaitu Caesar dan cuba mengawasinya dengan teliti. Tetapi ironinya ialah, Sulla telah menarik balik perlantikan Caesar sebagai Flamen Dialis dan ini membuka peluang kepada Caesar memasuki alam ketenteraan.

Walaupun Sulla berkuasa, Caesar masih mahu bergaul dengan golongan pembangkang. Lalu pada 84 SM, beliau telah berkahwin dengan Cornelia, anak perempuan Cinna. Sulla menganggap perkahwinan ini sebagai satu simbol penentangan, terutamanya kerana Caesar berkhidmat dalam tenteranya. Oleh itu, Sulla telah mengarahkan beliau untuk menceraikan isterinya sebagai tanda kesetiaan kepada regimnya. Tetapi Caesar enggan menurut perintahnya. Pada 82 SM beliau meninggalkan Rom untuk kempen ketenteraan di Asia dan Cilicia. Beliau hanya kembali ke Rom pada 78 SM apabila mendapat khabar tentang kematian Sulla dan disana beliau telah memulakan karier politiknya sebagai seorang pendakwaraya.

Caesar sebagai tentera

Sewaktu di medan perang, beliau terbukti seorang yang berani dan penuh berkaliber. Apabila tentera Rom mengepung Mytilene, di pulau Lesbos, beliau telah dihantar ke Bithynia, di selatan pesisiran pantai Laut Hitam untuk memujuk Raja Nicomedes IV Philopator agar menawarkan angkatan lautnya kepada Marcus Minucius Thermus di Lautan Aegean. Raja ini kemudiannya bersetuju dengan permintaannya. Walaupun begitu, persetujuan yang mudah diperolehi oleh Caesar telah menimbulkan skandal kononnya Caesar telah memberi balasan seksual kepada raja tersebut. Cerita seorang patrician dijadikan pelacur lelaki male prostitute telah menjadi kisah sensasi di Rom dan musuhnya kerap menggunakan skandal-skandal ini untuk menjatuhkan karier politiknya.

Julius Caesar dengan mahkotanya

Pada 80 SM, semasa berkhidmat di bawah Thermus, beliau memainkan peranan utama dalam pengepungan Miletus. Sewaktu perang tersebut, Caesar mempamerkan keberaniannya dengan menyelamatkan beberapa tentera legionaries dan beliau telah dianugerahkan dengan kehormatan corona civica (mahkota oak). Mahkota ini adalah kehormatan kedua tertinggi (selepas corona graminea - Mahkota Rumput) dalam militari Rom, dan ianya dianugerahkan kepada Caesar kerana berjaya menyelamatkan seorang tentera. Mahkota corona civica merupakan anugerah yang amat berprestij. Sekiranya penerima anugerah ini berada di Senat Rom, semua ahli Senat terpaksa berdiri dan memberi tepukan gemuruh kepada pemakainya. Caesar kerap memakainya terutamanya di hari-hari perayaan disebabkan beliau suka dipuji dan bagi menutup kepalanya yang kian membotak. Disamping mahkota, Caesar telah dihadiahkan pingat yang kecil sebagai tanda keberaniannya.